Manfaat : Hindari Bala Dengan Banyakkan Bersedekah
Hindari Bala Dengan Banyakkan Bersedekah
Sedekah bukanlah satu perkara baru dalam kehidupan, sudah menjadi amalan dalam kehidupan tetapi mungkin menjadi satu bebanan pada yang tidak suka akan berkongsi harta dengan orang lain.
Namun, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu adalah amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan.
Pada umumnya, bersedekah ialah amalan sunat yang banyak disebut dalam Islam. Ia pemberian ikhlas yang sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang, selain ketaatan kepada Allah SWT.
Amalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya, asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda, sebaliknya merangkumi hal seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan.
Malah, senyum juga disifatkan sebagai sedekah apatah lagi jika ia membabitkan pembangunan ekonomi umat Islam seperti membayar zakat, berwakaf dan infak (memberi sumbangan wang serta harta).
Menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
Selain kebaikan di dunia, amalan bersedekah juga menjanjikan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya mereka rajin bersedekah akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.
Ulasan
Catat Ulasan